Sunday, 10 April 2011

Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai.

Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.

Cara bermain gasing

Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.

Melilit tali

Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

Melilit gasing

Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.

Memusing gasing

Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.
Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.

Memangkah gasing

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

Pangkah totok

Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.

Pangkah hentak

Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

Pangkah layang

Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.

Pangkah tebang

Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.

Mengangkat gasing

Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.





Gasing Toyol merupakan sejenis gasing yang berbentuk tinggi seperti berembang dengan berat sekitar 0.6 kg. Gasing toyol mempunyai lilitan sekitar 36 cm dengan ketinggian sekitar 12 cm. Gasing Toyol banyak dimainkan di Melaka.
Seperti juga toyol yang sering mengganggu, mengacau dan mencuri, begitu jugalah pusingan gasing ini yang digunakan untuk mengganggu, mengacau, mencuri ruang masa dan mudah bergesel dengan gasing lain. Ketika dalam permainan, gasing toyol mestilah dipangkah dahulu, jika tidak ia akan mengganggu gasing-gasing lain.
Pada masa kini, pemain gasing di Selangor dan Negeri Sembilan mula menggunakannya sebagai pengacau.







Gasing Begelen merupakan sejenis gasing yang berbentuk rendah seperti piring dengan berat sekitar 0.5 kg. Gasing begelen mempunyai lilitan sekitar 30 cm dengan ketinggian sekitar 8 cm.
Gasing ini merupakan gasing Jawa dan merupakan bentuk asas gasing leper Johor dan gasing uri. Ia diperbuat daripada kayu jenis ringan seperti leban atau gelam tetapi telah disimpai dengan menggunakan keluli. Gasing jenis ini juga terdapat di Sabah dan Brunei. Selain digunakan untuk memusing, ia juga boleh digunakan untuk memangkah. Bagi pemain Johor, gasing ini hanya digunakan untuk bermain dalam gelanggang yang becak sahaja.







Gasing kuno merupakan jenis gasing silam yang pernah dimainkan di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, dan Johor.
Gasing ini merupakan gasing yang masih mengekalkan bentuk lama yang diperbaiki daripada bentuk berembang. Biasanya ia digunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, dan keranji. Di Pahang, terutama di Kuala Lipis dan Temerloh, bentuk amat bulat sedikit dan di Johor pula paksinya lebih besar dan panjang.
Gasing Kuno mempunyai bentuk berembang dengan berat sekitar 0.6 kg. Ia mempunyai lilitan sekitar 30 cm dengan ketinggian 10 cm.


Jenis-Jenis gasing lain









No comments:

Post a Comment